fb fb fb fb fb

Roslan Yatim Tokoh Guru Kebangsaan 2022; terima wang tunai, pingat emas

(Datuk Dr Radzi Md Jidin (tengah) bergambar kenangan bersama penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2022 Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah (dua, kiri) dan penerima Anugerah Tokoh Guru kepada Roslan Yatim (dua, kanan)/BERNAMA)

BACHOK, 16 Mei - Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Kedah, Roslan Yatim, 65 tahun, yang pernah dinobat Guru Besar Cemerlang turut menerima beberapa penghargaan di peringkat antarabangsa.

Bergelar pendidik selama 37 tahun dan pada masa sama terlibat dengan pembubaran kokurikulum bagi subjek Kajian Tempatan Untuk Murid Tahun Lima dan Enam.

Pengalaman dan pencapaian itu membolehkan Roslan menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022 bersempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 .

(Datuk Dr Radzi Md Jidin (tengah) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru kepada Roslan Yatim (kanan) pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51/BERNAMA)

Beliau menerima wang tunai RM40,000 dan pingat emas bernilai RM10,000 yang disampaikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Roslan yang berasal dari Seberang Alor, Kuala Perlis, berpengalaman menjadi jurulatih utama mata pelajaran Kajian Tempatan dari 1994 hingga 2016.

"Pada 2003, saya terlibat dalam penggubalan kurikulum, menggubal sukatan pelajaran dan menulis huraian sukatan kajian tempatan. Alhamdulillah, pada 2006 saya dipilih sebagai penulis teks kajian tempatan untuk Dewan Bahasa dan Pustaka untuk digunakan seluruh Malaysia dan 2007 lagi sekali dipilih sebagai penulis buku teks tahun enam. Jadi murid tahun lima dan enam di seluruh negara tu akan pakai teks yang saya tulis," kata beliau.

Sementara itu, penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah, 71 tahun pula, merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan kerana memilih beliau.

"Saya melihat pendidikan kita amat penting sebagai jentera utama untuk membentuk generasi pelapis, melalui pendidikan kita harap akan terbentuk satu generasi yang memiliki ilmu pengetahuan yang berguna yang relevan untuk masa dan ketikanya.

"Tetapi sama penting ialah kemahiran-kemahiran yang dapat memberi kekuatan kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki itu untuk dioperasikan," katanya.

 

Media Baharu