fb fb fb fb fb

Rosak dipukul ombak: Dua jalan di Kuala Nerus ditutup

ACP Azli Mohd Noor (tengah) meninjau lokasi jalan yang ditutup di Kampung Tanjung/RTM

KUALA NERUS, 12 Januari- Dua jalan di pesisir pantai di laluan Mengabang Telipot ke Batu Rakit berhampiran Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Tanjung di sini ditutup sepenuhnya bermula semalam bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Azli Mohd Noor berkata penutupan sepanjang 300 meter (m) dan 330m itu dilakukan berikutan kerosakan teruk akibat ombak tinggi dan angin kencang.

"Keadaan semasa menunjukkan kelajuan angin sekitar 60 hingga 70 kilometer sejam serta ombak besar yang berpotensi membawa ketulan batu ke jalan raya.

"Oleh itu, saya telah memohon agar Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup jalan menggunakan barrier konkrit (penghalang konkrit). Jalan ini akan terus ditutup sehingga keadaan angin dan ombak kembali reda," katanya.

Tambah Azli, pihaknya turut menugaskan pegawai dan anggota untuk menjalankan rondaan secara berkala di lokasi berisiko dan lokasi tumpuan orang ramai.

Justeru orang ramai diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak menggunakan jalan berkenaan.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau lokasi jalan yang ditutup di Kampung Tanjung serta menerima taklimat oleh Jurutera Jalan JKR Kuala Nerus Mohd Ridhuan Baharuddin dan Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Nerus Ir Aisyah Abu Bakar di sini hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan berserta angin kencang dari 10 hingga 13 Januari ini.

SITI AISHAH MD ISA