PUTRAJAYA, 27 Mei- Sebarang rombakan Kabinet adalah hak mutlak dan bergantung pada budi bicara Perdana Menteri.
Ini ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Kita tunggu kalau benar perkara itu berlaku. Lazimnya, tidak ada seorang Perdana Menteri pun berbincang dalam Kabinet untuk melakukan rombakan," katanya.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid)
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas spekulasi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merombak barisan Jemaah Menteri selepas Pilihan Raya Negeri.
Mengenai prestasi keseluruhan anggota kabinet beliau berpandangan, semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan prestasi memuaskan setakat ini.