fb fb fb fb fb

Rokok seludup bernilai RM428,450 dirampas

KELANTAN, 14 Februari - Cubaan sindiket penyeludupan membawa masuk rokok seludup daripada negara jiran bernilai RM428,450 gagal apabila kegiatan mereka berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan awal pagi kelmarin.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, pemeriksaan mendapati 41 bungkusan plastik hitam mengandungi 410,000 batang rokok putih disyaki tidak bercukai itu dipercayai untuk pasaran di beberapa negeri termasuk Kelantan.

 
(Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan,
Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman)

Beliau berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak perlahan memasuki muara Tumpat pukul 3.45 pagi.

Anggota kemudian bertindak mengekori bot berkenaan sehingga berdekatan Galeri Tengku Anis, Pengkalan Kubor dan mendapati, bot terbabit sedang memindahkan bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.

“Menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, suspek terus melarikan diri. Bot peronda bertindak buru namun terpaksa dihentikan setelah suspek berjaya memasuki sempadan negara Thailand bot peronda seterusnya berpatah balik ke lokasi pemindahan bungkusan plastik hitam dan kumpulan darat turut digerakkan untuk membantu pemeriksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan di Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok-rokok tersebut diseludup menggunakan bot besar di tengah laut sebelum dipindahkan ke bot pancung dan dibawa ke kawasan tebing sungai.

Sindiket penyeludupan itu menjalankan kegiatan memunggah rokok berkenaan pada awal pagi bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Media Baharu