MANILA, 12 Mei - Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, sekali lagi memenangi kerusi Datuk Bandar Davao City dalam pilihan raya pertengahan penggal tahun ini, menurut keputusan awal yang diumumkan semalam, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.
Dengan lebih 60 peratus undi telah dikira, Duterte mencatatkan kemenangan besar dengan memperoleh 405,000 undi berbanding 49,000 undi yang diterima pencabarnya yang terdekat, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya seperti dilaporkan media tempatan.
Bekas presiden itu ditahan pada Mac lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila dan kemudiannya dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda, di mana beliau masih ditahan.
Di bawah undang-undang pilihan raya Filipina, hanya sabitan jenayah oleh mahkamah tempatan boleh menyebabkan seseorang calon dilarang bertanding.-BERNAMA-XINHUA