fb fb fb fb fb

Penuntut UniSZA lemas, bahagia bertukar tragedi

Foto JBPM

SETIU, 12 Mei - Kegembiraan lapan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mandi-manda di Hutan Lipur Lata Changkah, di sini berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas.

Ketua Polis Daerah Setiu, Supritendan Mohd Zain Dris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa yang lemas dikenali sebagai Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani berumur 24 tahun.

Menurut rakan mangsa, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23 tahun, dia bersama enam rakan lain sedang mandi di sungai manakala seorang lagi berada di lokasi berasingan.

Kejadian berlaku ketika dia naik ke darat untuk minum air dan melihat beberapa rakannya yang berada di tengah sungai dalam keadaan tenggelam timbul.

Melihat situasi cemas itu, Muhammad Hady segera terjun semula ke dalam sungai dan berjaya menolak empat rakannya ke tebing sebelum menyedari Irfan hilang.

Seorang lagi rakan berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa dan lima lagi rakannya tidak tahu berenang dan baru beberapa kali mengunjungi kawasan rekreasi tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.42 petang dan segera menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.

Mayat mangsa Wan Ahmad Irfan ditemui terdampar di dasar sungai pada kedalaman 4.5 meter melalui kaedah selaman yang dilakukan oleh anggota bomba", katanya.

Lima rakan mangsa yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE