LAHAD DATU, 12 Mei - Dua daripada empat lelaki yang dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Tamaco, Tungku dekat sini pada Khamis lepas ditemukan dalam keadaan selamat dan sudah keluar dari kawasan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata empat individu yang masuk ke kawasan itu untuk mencari hasil hutan telah berpecah kepada dua kumpulan.
"Satu kumpulan dua orang dan dua mangsa berjaya keluar dari kawasan hutan dengan selamat manakala dua lagi masih belum dapat dikesan.
"Pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain termasuk 33 anggota Angkatan Tentera Malaysia serta tiga orang awam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan radius pencarian satu kilometer bermula dari lokasi mangsa dilaporkan hilang," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata operasi SAR dua lagi mangsa ditangguhkan pada 4 petang ekoran hujan lebat dan akan disambung semula pagi esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintenden Jimmy Panyau pula mengesahkan dua mangsa yang dikhuatiri hilang adalah anggota tentera berumur 37 dan 41 tahun.
Beliau berkata mereka telah memukat ikan di Sungai Sri Darun sebelum mengikuti laluan cabang sungai kecil dan memasuki kawasan hutan untuk mencari akar kayu bagi tujuan perubatan. - BERNAMA