PUTRAJAYA, 12 Mei - Lebih 1,000 peserta telah membanjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sempena 'Daurah Hadith' bersama ulama hadis tersohor Syeikh Majd Makki.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan menyeru seluruh pencinta ilmu dan sunnah untuk menyertai siri majlis ilmu bersama Syeikh Majd Makki dari 9 hingga 17 Mei yang merangkumi pengajian hadis, tafsir al-Quran dan tawsiyah umum di beberapa lokasi seluruh negara.
Beliau berkata, majlis tersebut merupakan platform dan peluang untuk masyarakat mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu hadis dan tafsir yang disampaikan oleh tokoh ulama hadis antarabangsa.
Jelasnya, tiga buah kitab utama menjadi fokus syarahan iaitu Akhlaq an-Nabi wa Adabuhu, al-Arba’un al-Ajurriyah, dan al-Arba’un as-Sughra dalam program anjuran Tirmidhi Centre dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Majlis tersebut juga bagi meneruskan tradisi riwayah yang diwarisi sejak zaman berzaman, di mana para hadirin akan membaca, mendengar serta meriwayatkan kandungan kitab-kitab hadis yang dibincangkan.