PETALING JAYA, 12 Mei - Dua memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bersempena Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Sektoral Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) 2025 yang akan bermula esok.
MoU tersebut akan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dan pengembangan perniagaan koperasi di peringkat ASEAN
MoU pertama dimeterai antara ACO dengan Asosiasi Dosen Akuntansi Indonesia (ADAI) yang memberi fokus kepada kerjasama pendidikan dan latihan dalam bidang akauntansi koperasi.
Melalui kerjasama ini, siri latihan bersama, pertukaran kemahiran dan program pembangunan kapasiti koperasi akan dilaksanakan secara bersama antara ACO, ADAI dan gerakan koperasi Malaysia, selain memperluas model koperasi siswa di institusi pengajian tinggi Indonesia dan negara ASEAN lain.
Manakala, MoU kedua dimeterai antara Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB) dengan Dewan Koperasi Indonesia (DEKOPIN) yang akan memfokuskan kepada kerjasama strategik dalam pengembangan perniagaan koperasi, terutamanya dalam sektor pelancongan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama ini membuktikan hubungan erat antara koperasi Malaysia dengan Indonesia yang mampu membawa impak ekonomi yang lebih luas kepada kedua-dua negara.
"Ini untuk meneroka peluang perniagaan dalam bidang pelancongan, antara Indonesia dengan Malaysia, selain berpotensi untuk berkembang ke rantau lain."
"Untuk pelancongan, ini kali pertama tetapi yang lain dah banyak dah tapi yang ini antara koperasi APEC yang mungkin koperasi kecil yang mana koperasi A dengan koperasi B tapi ini melibatkan antara satu koperasi Malaysia dengan koperasi APEC di Indonesia iaitu Dewan Indonesia jadi bila dia boleh akses dengan Dewan Koperasi Indonesia, secara automatik boleh diakses kepada 130,000 koperasi di Indonesia" katanya kepada pemberita.
Mesyuarat berkenaan yang melibatkan 10 pemimpin koperasi dari negara ASEAN diadakan bersempena Dialog Koperasi ASEAN (ACD) 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula esok.
Resolusinya akan diserahkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick selepas dialog.
ACD 2025 dianjurkan oleh ANGKASA dengan sokongan penuh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menghimpunkan badan koperasi utama dari seluruh rantau ASEAN.