PAPAR, 29 Julai – Menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini, pelbagai harapan dan aspirasi disuarakan rakyat khususnya dalam sektor pendidikan dan latihan.
Antara keutamaan yang diketengahkan ialah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mewujudkan keseimbangan antara laluan akademik dan kemahiran, serta meningkatkan peruntukan untuk membaik pulih sekolah dan kemudahan infrastruktur pendidikan.
Bagi Altred Eban, pelaburan dalam bidang kemahiran perlu bermula seawal peringkat sekolah dan tidak hanya tertumpu kepada institusi dewasa semata-mata.
"Bagi saya, pengendalian pendidikan TVET perlu bermula dari peringkat sekolah. Peruntukan dalam RMK13 juga perlu ditambah, khususnya bagi bidang kemahiran yang menawarkan peluang pekerjaan tinggi kepada anak muda," katanya.
Sementara itu, Josnius Janis pula berharap agar peruntukan pembangunan sekolah daif serta kemudahan infrastruktur luar bandar turut diberi keutamaan.
"Saya berharap kerajaan beri peruntukan lebih besar dalam RMK13 untuk membina semula sekolah-sekolah daif dan memperbaiki kemudahan asas seperti jalan raya, agar pelajar dapat ke sekolah dengan selamat dan selesa," katanya.
Turut menyuarakan pandangan, Irene Ahmin menekankan kepentingan kesamarataan peluang antara laluan akademik dan TVET, termasuk dari segi agihan peruntukan dan biasiswa.
"Saya harap agihan peruntukan adalah seimbang antara akademik dan kemahiran. Mereka yang dalam bidang kemahiran juga perlukan peluang sama, termasuk kemudahan seperti biasiswa dan kelayakan yang tidak terlalu ketat," katanya.