KUALA LUMPUR, 29 Julai - Satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menyelaras pelan tindakan menangani isu liputan internet yang tidak stabil di lebuh raya seluruh negara.
Pasukan itu melibatkan kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan langkah itu dicapai hasil mesyuarat khas bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan agensi berkaitan.
Jelas beliau, setakat ini lebih 50 kilometer jajaran lebuh raya dikenal pasti tidak mempunyai liputan telekomunikasi.
Termasuk, di Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Antara keputusan lain yang dicapai dalam mesyuarat tersebut termasuk mengenal pasti lokasi kritikal ‘drop call’, meneliti keperluan pemasangan infrastruktur telekomunikasi serta penglibatan konsesi lebuh raya dalam pelaksanaan penyelesaian jangka pendek dan panjang,”
"LLM Wilayah dan MCMC Negeri turut turun padang bagi menjalankan semakan tapak serta kemudahan bekalan kuasa bagi pemasangan infrastruktur sokongan." jelas beliau.
Dalam pada itu, Datuk Seri Alexander turut mencadangkan MCMC terlibat secara langsung dalam menangani gangguan frekuensi dan menyokong keperluan teknikal bagi pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa akan datang.
Beliau menegaskan, komitmen pihaknya bukan sahaja membina jaringan lebuh raya yang baik, malah memastikan rakyat sentiasa terhubung dengan lancar dan selamat.