KLANG, 29 Julai - Daerah Sabak Bernam muncul sebagai pusat pengeluaran padi utama di Selangor dengan keluasan bertanam mencapai 24,098.04 hektar.
Menurut Laporan Interim Banci Pertanian 2024, padi juga menjadi tanaman utama di kawasan itu dengan nilai jualan mencecah RM220.10 juta menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan nilai jualan padi di Selangor.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu membuktikan peranan stategik Sabak Bernam dalam menjamin sekuriti makanan negeri dan negara serta sebagai nadi agro makanan dinegeri itu.
"Jadi dengan data terbaru dia akan memberikan petunjuk sama ada usaha pertanian yang kita buat selama ini memberikan impak ataupun sebaliknya.
"Seterusnya ia juga akan memberi peluang kepada kita untuk menambah baik beberapa polisi dan juga pendekatan pertanian yang akan diteliti oleh pihak Jabatan Pertanian, Exco Pertanian dan pelbagai agensi berkaitan dengan pertanian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Selangor di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Sabak Bernam terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat utama pertanian di Selangor apabila mencatatkan bilangan pemegang pertanian tertinggi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 9,296 pemegang.
Statistik itu merangkumi 9,197 individu dan 99 pertubuhan terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian.
Daerah tersebut turut merekodkan keluasan kawasan bertanam dan bertuai tertinggi di Selangor iaitu sebanyak 44,122.79 hektar kawasan bertanam manakala 43,286.51 hektar bagi kawasan bertuai.
Manakala nilai jualan keseluruhan sektor pertanian di daerah itu juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila direkodkan sebanyak RM1.64 billion.