fb fb fb fb fb

RMK13: Malaysia perkukuh industri maritim dan ekonomi biru mampan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Julai -Kerajaan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan industri strategik dalam sektor ekonomi biru yang mampan dan berdaya saing.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus utama merangkumi pembangunan hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, teknologi berasaskan bio biru, serta pewujudan hab ekonomi biru di Sabah.

Katanya, bagi sektor industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), kerajaan akan mempergiat usaha menarik pelaburan strategik bagi memperluas kapasiti perkapalan negara serta menaik taraf infrastruktur bunkering di pelabuhan-pelabuhan utama termasuk di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Inisiatif ini akan menyumbang kepada sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab maritim serantau yang kompetitif dan mampan.

Infrastruktur pelabuhan yang lebih moden, cekap dan lestari bagi menyokong pengendalian dagangan maritim rendah karbon akan turut dibangunkan," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen.

Datuk Seri Anwar menjelaskan pembangunan itu akan dilaksanakan melalui pembinaan terminal ketiga di Pulau Carey, pembangunan terminal kontena Westports 2 dan pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor.

Selain itu, mengambil kira bahawa 94.6% aktiviti perdagangan negara bergantung kepada laluan laut, kerajaan turut merancang semakan dan pembaharuan kerangka perundangan maritim melalui penubuhan Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-undang Maritim Malaysia.

Turut akan diberi perhatian adalah aspek perlindungan ekosistem laut. 

"Aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal akan dibanteras, manakala sistem tagal atau tagang diperluas sebagai amalan lestari di kawasan pantai, pulau dan perairan negara," katanya.

TETITIA YUSOFF