KUALA LUMPUR, 31 Julai -Industri pelancongan negara menunjukkan pemulihan ketara dengan perbelanjaan pelancong asing melonjak kepada RM102.2 bilion pada tahun 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menjadikannya antara sektor utama yang terus diberi keutamaan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bagi memperkukuh sektor itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan Strategik (STIZ) di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak swasta dan koperasi.
"Zon ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni, budaya dan warisan serta alam semula jadi seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf UNESCO," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat dengan tema "Melakar Semula Pembangunan".
Selain itu, melalui Inisiatif Warisan Kuala Lumpur, khazanah bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur sehingga Carcosa Seri Negara akan dipulihara dan dipelihara.
"Industri inap desa juga akan diperkasa bagi melebarkan limpahan ekonomi sehingga ke desa," katanya.
Dalam pada itu Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bakal menjadi pemangkin penting dalam merealisasikan sasaran sumbangan sektor pelancongan kepada 16% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh RMK13.