fb fb fb fb fb

RMK13: Pertumbuhan KDNK disasar pada kadar 4.5%-5.5%

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Julai - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disasarkan pada kadar antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia diterajui permintaan domestik terutama penggunaan dan pelaburan swasta.

"Eksport kasar negara dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus setahun. Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang.

"Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan secara berperingkat di bawah 3 peratus kepada KDNK dan paras hutang kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.

"Pendapatan negara kasar per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi," katanya dalam pembentangan RMK13 di sini hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK meningkat kepada 40 peratus, manakala kadar pengangguran diunjur mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030.

Purata kadar inflasi pula dijangka kekal stabil dalam lingkungan 2 peratus hingga 3 peratus setahun.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM