fb fb fb fb fb

RMK13: Lebuh raya utama dinaik taraf, projek jalan baharu diteruskan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 31 Julai -Usaha menaik taraf laluan jalan sedia ada dan membina jalan baharu akan diteruskan, bagi memastikan akses pengangkutan yang lebih lancar dan menyeluruh di seluruh negara.

Antaranya ialah menaik taraf Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara-Machap di Johor dan Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang, pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama yang menghubungkan Pahang dan Kelantan, serta kesinambungan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan jalan luar bandar.

Untuk itu, sebanyak 2,800 kilometer jalan luar bandar akan dibina dan dinaik taraf, termasuk pembinaan jalan dari Nanga Serau ke Nanga Seranau di Kapit, Sarawak; jalan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di Bagan Datuk, Perak; serta jalan di Pos Sinderut, Lipis, Pahang.

Pada masa sama beliau berkata, inisiatif road-to-rail bagi memindahkan sebahagian besar pergerakan kargo daripada jalan raya akan meningkatkan kadar penggunaan landasan daripada 6% kepada 13%, sekali gus risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

TETITIA YUSOFF