KUALA LUMPUR, 30 Julai - Meningkatkan pendapatan rakyat dan negara menjadi asas utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, RMK13 akan berteraskan prinsip Kerangka Ekonomi MADANI dengan penekanan kepada peningkatan nilai tambah serta pembangunan sektor berpotensi tinggi.
“RMK13 berasaskan Kerangka Ekonomi MADANI, dengan matlamat meningkatkan ‘harga lantai dan siling’ iaitu pendapatan minimum rakyat serta potensi maksimum negara.
"Itu yang menjadi tunjang perancangan lima tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Expo dan Persidangan Antarabangsa Kesalinghubungan di ibu negara, hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, tumpuan turut diberikan kepada sektor hiliran dan industri yang berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Perdana Menteri dijadual membentangkan RMK13 pada 12 tengah hari esok, di Dewan Rakyat.