fb fb fb fb fb

e-Invois lonjak pematuhan cukai, 5,800 individu lapor RM484 juta pendapatan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Sebanyak 5,800 pembayar cukai tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran terdahulu sebanyak RM484 juta.

Ini susulan tindakan awal pematuhan terhadap pembayar cukai yang mempunyai risiko gagal
melaporkan pendapatan yang telah diterima.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu telah menyumbang kepada hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta.

"Menerusi pelaksanaan e-Invois, LHDN menerima maklumat individu dan syarikat yang menjalankan transaksi perniagaan sejak 1 Ogos tahun lepas dan sentiasa memantau secara aktif data pembayar cukai yang telah disahkan dalam sistem MyInvois.

"Ia untuk memastikan pematuhan cukai dilaksanakan secara sukarela dan berterusan selaras dengan prinsip keadilan dalam sistem percukaian negara,"jelas LHDN.

Sementara itu, LHDN memberitahu, sebanyak 413 juta e-Invois dikeluarkan secara keseluruhan, setakat 30 Julai lalu.

Penyertaan lebih 83,000 pembayar cukai itu bukan sahaja melibatkan pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga pelaksanaan e-Invois secara mandatori, malah turut disertai pembayar cukai fasa keempat dan kelima secara sukarela.

β€œIni menunjukkan tahap penerimaan baik oleh pembayar cukai dalam mematuhi pelaksanaan e-Invois. LHDN juga ingin memaklumkan bagi pembayar cukai yang telah tamat tempoh kelonggaran perlu melaksanakan e-Invois sepenuhnya mengikut garis panduan,” menurut kenyataan itu.

LHDN turut menyarankan pembayar cukai untuk menghubungi saluran khas yang disediakan untuk bantuan khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan e-Invois, termasuk berkunjung ke pejabat LHDN.

Pembayar cukai juga boleh menghubungi meja bantuan e-Invois di talian 03-8682 8000 (talian 24 jam) atau melalui MyInvois Live Chat, emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. bagi pertanyaan umum e-Invois dan borang maklum balas pelanggan MyInvois di pautan https://feedback.myinvois.hasil.gov.my.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE