fb fb fb fb fb

Pindaan Akta Industri Pelancongan dijangka dibentang akhir tahun ini – MOTAC

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyelesaikan proses awal kajian semula terhadap Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), yang dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada penghujung tahun ini atau awal 2026.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pindaan tersebut hasil daripada 54 sesi libat urus bersama hampir 1,000 peserta melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta pemain industri pelancongan dari seluruh negara.

“Antara cadangan pindaan termasuklah penambahbaikan aspek pelesenan, perlindungan insurans, pemantapan penguatkuasaan, pendaftaran platform digital serta penubuhan tribunal pelancongan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan mengenai penambahbaikan kawal selia terhadap premis penginapan pelancong, khususnya penginapan jangka pendek atau Short-Term Rental Accommodation (STRA).

Katanya, MOTAC dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju bahawa STRA hanya boleh didaftarkan sebagai premis pelancongan selepas memperoleh lesen operasi perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini penting kerana urusan pelesenan dan penguatkuasaan premis penginapan adalah di bawah bidang kuasa PBT negeri masing-masing,” tegasnya.

Sementara itu, kerajaan sedang giat memperkemas kawal selia berkaitan penginapan sewaan jangka pendek atau Short-Term Rental Accommodation (STRA) melalui penyediaan garis panduan khusus dan kajian semula akta sedia ada.

Khairul Firdaus memaklumkan, draf Garis Panduan Perancangan STRA (GPP STRA) sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia selepas lebih 10 sesi libat urus bersama pelbagai pemegang taruh.

"Dalam ketika ini, kita tengah membangunkan draf Garis Panduan Perancangan, penginapan, sewaan jangka pendek GPP STRA pihak KPKT melalui PLANMalaysia, telah mengadakan lebih daripada 10 sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023 termasuk dengan pihak kerajaan negeri", katanya.

 

 

ROSLINA BINTI DIN