fb fb fb fb fb

Etomidate dalam vape, kerajaan mula bertindak

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 30 Julai - Kementerian Kesihatan sedang menimbang untuk menyenaraikan ubat bius etomidate di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, susulan laporan penyalahgunaan bahan itu dalam produk vape, dikenali Kpods di Singapura.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini etomidate dikawal di bawah Akta Racun 1952 sebagai Racun Kategori B dan hanya dibenarkan untuk kegunaan klinikal sebagai ubat pelali dan anestetik.

Namun begitu, beliau menegaskan, kementerian terbuka untuk menyemak semula aspek perundangan dan kawal selia berdasarkan penilaian pakar dan pendekatan berasaskan bukti.

“Cadangan ini sedang diteliti secara menyeluruh dan tidak akan diputuskan secara tergesa-gesa.

"Kita akan tunggu laporan jawatankuasa pakar yang sedang menilai perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan (NHTAC) 2025.

Cadangan kawal selia etomidate dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, yang memohon kerajaan bertindak segera memandangkan bahan itu kini digunakan secara rekreasi dan boleh mengancam nyawa.

Mengenai isu pengharaman menyeluruh rokok elektronik atau vape, Dr Dzulkefly memaklumkan, perkara itu sedang dikaji oleh jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Dr Ismuni Bohari, bersama pakar kesihatan awam, Profesor Datuk Dr Lokman Hakim.

Kajian itu meliputi kesihatan awam, implikasi perundangan serta kesan jangka panjang terhadap masyarakat.

Menurutnya, isu tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, dan kajian terperinci sedang dijalankan dari sudut kesihatan awam, perundangan serta kesan sosial jangka panjang.

“Kita menuju ke arah itu (pengharaman), tapi ia tidak boleh dilakukan semberono. Semua tindakan mesti berpandukan data klinikal dan penilaian menyeluruh,” katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN