GUA MUSANG, 30 Julai – Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) telah berjaya menguruskan sebanyak 117,600 tan metrik sisa pepejal sejak tahun 2021 hingga kini, melibatkan kira-kira 110,000 penduduk di daerah itu.
Yang Dipertuanya, Mohd Roshdi Ismail berkata secara purata penduduk Gua Musang menghasilkan sekitar 100 tan sisa pepejal setiap hari, bersamaan 2,100 hingga 2,800 tan sebulan dalam tempoh berkenaan.
“Sejak tahun 2023, jumlah kutipan meningkat kepada purata 2,800 tan sebulan, sejajar dengan pertambahan kawasan pertumbuhan baharu yang menyumbang kepada peningkatan jumlah sampah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak pelupusan sampah sementara di Kampung Kundur, di sini.
Menurut beliau, kutipan sampah dilakukan setiap hari menggunakan sembilan lori, yang digerakkan mengikut jadual ke kawasan yang telah ditetapkan.
“Setahun kita urus kira-kira 33,600 tan sisa pepejal. Pertambahan pusat pembangunan dan pembukaan kawasan baharu turut menyumbang kepada peningkatan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, operasi kutipan sampah turut melibatkan beberapa kawasan utama termasuk Bertam dan Galas, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan berkesan.