fb fb fb fb fb

Konflik Thailand-Kemboja: Malaysia berjaya pulihkan keamanan serantau

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 berjaya memainkan peranan penting dalam mengemudi usaha mencapai titik persefahaman konflik Thailand-Kemboja.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan kejayaan itu menunjukkan keupayaan Malaysia dalam memperkukuh keamanan serantau, khususnya dalam situasi yang memerlukan kepekaan diplomatik.

“Saya percaya niat kita adalah jelas, iaitu untuk memastikan ketenteraman dan keamanan dapat dikembalikan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan penting dalam mengemudi dan mencari titik pertemuan dalam kepelbagaian dan kerencaman di Asia Tenggara... dan kita telah berjaya dalam hal ini,”katanya semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Fahmi berkata, situasi semasa yang meletakkan Malaysia sebagai tumpuan dunia amat jarang berlaku.

"Namun, kita menyaksikan kejayaan besar apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan mengumumkan gencatan senjata secara bersama," katanya.

Isnin lalu Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan.

Malaysia menjadi orang tengah dalam pertemuan Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Mesyuarat khas itu melibatkan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboia Hun Manet.

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak antara tentera kedua-dua negara pada 28 Mei sebelum memuncak kepada konflik bersenjata pada 24 Julai lalu.

GRACE AISYAH KEDAYAN