fb fb fb fb fb

Peranan masyarakat diperkasa, kekang isu gejala sosial dalam komuniti

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai- Semua pihak termasuk masyarakat disaran berganding bahu dengan kerajaan bagi mengekang isu gejala sosial yang semakin membimbangkan sama ada membabitkan kanak-kanak, remaja, belia mahu pun dewasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata gejala sosial adalah kemungkaran yang perlu dicegah oleh setiap umat Islam sebagaimana suruhan Allah SWT dalam al-Quran.

"Rakyat secara keseluruhannya perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan termasuk ibu bapa, dalam konteks keluarga, jiran tetangga serta masyarakat secara umum. Kita semua memainkan peranan yang penting.

Allah SWT berfirman yang bermaksud kita dianggap sebagai umat terbaik apabila mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Justeru, gejala sosial ini adalah satu bentuk kemungkaran yang wajib kita tangani bersama," kata Datuk Dr. Na'im Mokhtar kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) di ibu negara.

Tambahnya, penyertaan lebih 800 pelajar sekolah dalam program itu diharap dapat memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai gejala sosial seperti buli, kemurungan, bunuh diri dan transgender sekali gus menjadi ejen perubahan ke arah pembinaan masyarakat yang lebih baik.

Program yang julung kali diadakan itu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan - Pusat Pungutan Zakat (MAIWP-PPZ) dan lain-lain.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM