fb fb fb fb fb

Isu pelucutan senjata Hamas dibincang Jemaah Menteri Jumaat ini

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Pendirian Malaysia berhubung gesaan beberapa negara Arab agar Hamas melucutkan senjata di Semenanjung Gaza dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan akan dimuktamadkan selepas mendapat taklimat terkini daripada Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengenai perkembangan konflik berkenaan.

“Jemaah Menteri belum lagi membincangkan perkara itu. Mungkin selepas kita bermesyuarat pada hari Jumaat ini akan dibincangkan.

“Kebiasaannya isu berkaitan geopolitik, Wisma Putra akan memberikan perkembangan terkini dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Ekspo Ketersambungan Antarabangsa 2025 (ICC2025) di sini hari ini.

Pada Selasa, beberapa negara Arab termasuk Qatar, Arab Saudi dan Mesir menyertai gesaan agar Hamas melucutkan senjata serta menghentikan pemerintahannya di Gaza.

Gesaan itu disuarakan bersama 17 negara lain termasuk Kesatuan Eropah dan Liga Arab, menerusi sokongan terhadap dokumen tujuh muka surat yang dipersetujui dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan memulihkan pelan penyelesaian antara Israel dan Palestin.

GRACE AISYAH KEDAYAN