GELUGOR, 2 Ogos - Tempoh lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak dianggap paling krusial, kerana ia merupakan fasa emas perkembangan otak, di mana asas penting dalam bahasa, emosi dan keupayaan kognitif sedang dibentuk.
Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Fadzilah Amzah berkata, perkembangan pesat dalam pelbagai aspek dapat dilihat pada usia ini.
Jelasnya, pada usia lima tahun, kebanyakan kanak-kanak telah bersedia secara fizikal dan emosi untuk memasuki persekitaran pembelajaran yang lebih tersusun dan berstruktur.
''Perkembangan bahasa, perkembangan kognitif mereka sudah boleh mula awal sains, awal matematik dengan pesat. Begitu juga dengan perkembangan emosi dan sosial.
''Kanak-kanak telah melepasi fasa egosentrik pada umur lima tahun. Jadi mereka sudah boleh mengawal emosi dan mengurus perhubungan dengan baik, boleh berinteraksi dengan baik.
''Pada umur lima tahun juga fizikal mereka agak mantap, mereka sudah boleh melakukan aktiviti motor kasar dan halus dengan baik. Begitu juga dengan perkembangan kognitif seperti yang saya sebutkan tadi early maths, early science dan awal bahasa telah mula mantap,'' katanya
Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM.
Tambah beliau, pendidikan prasekolah yang berstruktur dapat membantu kanak-kanak, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, untuk mendapat akses kepada bahan pembelajaran dan peluang interaksi sosial yang lebih berkualiti.
Keperluan pendidikan awal ini juga seiring dengan penguasaan kemahiran teknologi yang semakin awal dalam kalangan kanak-kanak masa kini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), mengumumkan pendidikan prasekolah akan diwajibkan bermula pada usia lima tahun.
Langkah ini diambil bagi memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak dan meningkatkan keberhasilan sistem pendidikan negara.