TANJUNG MALIM, 2 Ogos – Sebanyak 506 produk tempatan menerima penandaan logo Program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) setakat Julai lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, pencapaian itu merupakan indikator penting kepada strategi kerajaan dalam mempersiapkan negara mencapai kemajuan teknologi serta mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar.
Menurut beliau, bermula 23 Jun lalu, barangan dan perkhidmatan yang memperoleh logo MySTI akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan.
"Memang kami sangat menggalakkan… sebab bila berdaftar di bawah MySTI, ada banyak kebaikan dan kegunaan. antaranya, produk tersebut akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan. Penggunaannya meliputi pelbagai sektor, termasuk kesihatan, kecerdasan buatan dan lain-lain," katanya.
Tambahnya, produk yang diluluskan disenaraikan dalam Inventori MySTI dan boleh diakses orang ramai menerusi portal www.mysti.gov.my.
Chang ditemui pada Majlis Penutupan Program Keberkesanan Strategi Kawalan Vektor Denggi Menggunakan Produk MySTI di Tanjung Malim, pagi tadi.
Program MySTI merupakan inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kadar pengkomersialan barangan dan perkhidmatan hasil R&D tempatan di pasaran dalam dan luar negara.