PUTRAJAYA, 18 Jun- Draf Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka dibentang secara rasmi di Parlimen pada 28 Julai depan.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pembentangan dan taklimat mengenai draf tersebut telah disampaikan kepada jemaah menteri melalui Ketua Setiusaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
"Perdana Menteri telah meminta supaya setiap kementerian meneliti draf yang telah dibentangkan dan memberi maklum balas kepada Kementerian Ekonomi dalam masa terdekat sebelum ia dimuktamadkan bagi persiapan pembentangan di Parlimen kelak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Terdahulu pada Jumaat lalu media melaporkan, Datuk Seri Anwar memaklumkan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara.
Cabaran itu termasuklah keseimbangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.