PUTRAJAYA, 18 Jun- Kerajaan menyifatkan kejayaan menyiapkan sebuah kapal tempur pesisir (LCS) daripada lima yang dirancang sebagai bukti kemampuan sebenar jurutera tempatan dalam melaksanakan projek strategik pertahanan yang kompleks dan berisiko tinggi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berpuas hati terhadap perkembangan tersebut semasa lawatan rasmi ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Ahad lalu.
“Sewaktu di Lumut, Perdana Menteri turut menyaksikan kapal LCS yang telah siap, dan memaklumkan kepada jemaah menteri bahawa beliau berpuas hati dengan kejayaan menyiapkan sebuah daripada lima kapal yang dirancang.
“Kapal kedua dijangka siap pada penghujung tahun 2025, manakala kapal ketiga pula dijangka siap pada tahun hadapan," katanya dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.
Tambah Datuk Fahmi, ia membuktikan bahawa Kerajaan MADANI bukan sahaja meneliti permasalahan dalam pelaksanaan projek seperti LCS, malah mampu disiapkan dengan baik jurutera tempatan yang merupakan satu pencapaian membanggakan.