fb fb fb fb fb

RM900,000 diperuntukkan bagi Program Biasiswa Murid Orang Asli

PAHANG, 28 Julai - Farm Fresh Berhad hari ini melancarkan Program Biasiswa Murid Orang Asli sebagai salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Pejabat Pendidikan Daerah Rompin.

Seramai 20 pelajar tahun lima dan enam di sekitar daerah Rompin telah dipilih menerima biasiswa berkenaan yang memfokuskan kepada murid-murid cemerlang orang asli.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, pihaknya memperuntukkan RM900,000 bagi program berkenaan yang menyediakan biasiswa kepada pelajar terpilih dari tahun lima sehinggalah mereka melanjutkan ke peringkat universiti.

 
(Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal)

Katanya, antara kriteria murid yang terpilih adalah mereka yang mempunyai prestasi akademik yang baik, kepetahan bertutur, keyakinan diri dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk maju dan berjaya.

"Sebagai syarikat peneraju di muadzam ini kita nak bagi fokus utama biasiswa yang kita rangka ini untuk memberi limpahan kepada masyarakat setempat, dan khususnya kepada orang asli, kenapa orang asli yang dipilih kerana saya nampak di sekeliling projek kita ini kita mendapat rezeki bermula disini jadi limpahan balik kita nak bagi kepada masyarakat orang asli khususnya," katanya selepas Majlis Penyampaian Penajaan Program Biasiswa Murid Orang Asli Farm Fresh di Kompleks Tenusu Farm Fresh, Muadzam Shah, Rompin, Pahang.`

Menerusi program biasiswa itu, setiap pelajar menerima bantuan wang tunai secara bulanan sebanyak RM150 bagi peringkat sekolah rendah.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, pihaknya dijangka akan meneruskan program pendidikan Empower melibatkan masyarakat Orang Asli dengan menyediakan program motivasi dan tuisyen.

Media Baharu