KUCHING, 28 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membenarkan pengeluaran visa kemasukan berganda kepada pelancong untuk datang ke Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu langkah tersebut penting dalam usaha kementerian meningkatkan kedatangan pelancong asing selain membantu penggiat industri merancakkan lagi industri pelancongan negara.
Beliau menjelaskan, sebelum ini pelancong di beberapa buah negara menggunakan visa kemasukan sehala ke negara ini dan pihak MOTAC memerlukan satu langkah mudah untuk pelancong tersebut datang ke Malaysia.
Beliau bagaimanapun berharap agar KDN mempertimbang permohonan tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian tersebut untuk menentukan perkara tersebut.
Datuk Seri Nancy bercakap kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kecil ke-23 ASEAN mengenai Budaya dan Mesyuarat ASEAN Campur Tiga Jaringan Kerjasama Kebudayaan ke-11 di Kuching.
Sementara itu, beliau berharap ia akan dijadikan dasar sementara bagi Malaysia berikutan negara memerlukan lebih ramai pelancong datang ke Malaysia dan perkara itu telah dibincangkan dengan pihak KDN.
Beliau memberitahu setakat ini, sasaran kemasukan pelancong ke nagara ini telah melebihi sasaran iaitu dengan lebih 4.5 juta kedatangan pelancong dan dijangka akan terus meningkat selepas negara Brunei Darussalam membuka sempadan pada 1 Ogos ini.
(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri)