fb fb fb fb fb

Cadangan naik kadar cukai tembakau sedang dipertimbangkan

Semakan kadar cukai tembakau sejajar komitmen pembaharuan kesihatan awam dan fiskal oleh kerajaan/Foto Bernama

PUTRAJAYA, 7 Ogos - Cadangan bagi menaikkan kadar cukai tembakau sedang dipertimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan ia sejajar dengan komitmen kerajaan bagi pembaharuan kesihatan awam dan fiskal.

Jelas beliau, langkah tersebut susulan wujudnya moratorium atau tiada sebarang semakan semula kenaikan cukai tembakau bagi satu tempoh yang lama.

"Dari segi semangatnya, saya setuju. Saya bukan hanya tidak merokok tetapi memang kempen anti-merokok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 di Putrajaya.

Datuk Seri Anwar memberi respons tersebut ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan mengkaji semula cukai itu dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada Oktober depan.

Pada masa ini, cukai tembakau Malaysia berjumlah 58.60 peratus daripada harga runcit dan negara tidak mempunyai sebarang mekanisme rasmi bagi pelarasan harga bahan itu secara bertempoh.

Kali terakhir penilaian semula kadar tersebut dilakukan pada September 2014.

Sebelum ini, ahli ekonomi mencadangkan kadar cukai tembakau dinaikan kepada 60-75 peratus.

Pada minggu lepas, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Datuk Seri Anwar berkata kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan daripada gula dan merangkumi tembakau, rokok elektronik atau vape dan alkohol.

Beliau berkata langkah memperluas kerangka cukai itu bukan hanya bertujuan menambah hasil cukai, tetapi juga bagi menggalakkan perubahan sikap dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit.

ASHRIQ FAHMY AHMAD