(Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein membuat tinjauan di RKMAT Kem Kementah)
KUALA LUMPUR, 14 September- Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan menambah baik fasiliti sekolah di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Inisiatif tersebut akan disalurkan secepat mungkin agar dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah terbabit.
Menterinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, peruntukan yang diumumkan itu merupakan sebahagian inisiatif pendidikan ATM.
Ia meliputi kerja-kerja pembangunan fasiliti asas bangunan serta pendawaian elektrik.
"Antaranya, kementerian saya turut merancang untuk memanjangkan inisiatif Studio Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dan Kelas Abad Ke-21 seperti yang ada di SK (Sekolah Kebangsaan) Kementah ini ke sekolah-sekolah dalam Kem ATM di seluruh negara.
“Perkara ini selari dengan pendirian sepanjang kepimpinan saya di MINDEF (Kementerian Pertahanan) bahawa soal pendidikan dan kebajikan terutama kediaman menjadi keutamaan sepanjang masa,” katanya.
Peruntukan tersebut juga bakal memanfaatkan lebih 20,000 pelajar dan lebih 2,000 guru serta petugas sokongan.
Beliau berkata ia bukan sahaja berkait rapat dengan masa depan anak-anak warga ATM tetapi juga moral dan semangat anggota ATM serta warga pendidik di semua sekolah dalam Kem ATM di seluruh negara.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Kem Kementah serta Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Kementah, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, dalam memberi keselesaan kepada warga tentera dan keluarga, RKMAT akan ditambah baik dari segi pembinaan perumahan serta menyelenggara RKMT sedia ada dengan kadar segera.
Ia selaras dengan dasar kerajaan melalui Blueprint 2.0 yang bermatlamat membina perumahan yang selesa dan kondusif untuk warga tentera.
Sebanyak RM1 juta juga telah diluluskan MINDEF bagi tujuan senggaraan segera di RKMAT Kem Desa Tun Hussein Onn (DTHO) dan Jalan U-Thant.
(Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein)