BANGI, 29 April – Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 hari ini sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Mohd Isa berkata penganugerahan itu bukan sekadar simbol penghormatan, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga agensi untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan profesional.
“Keunggulan Maritim Malaysia bukan hanya terletak pada kecekapan operasi, tetapi pada iltizam setiap pegawainya untuk menjunjung amanah negara dengan penuh taat setia dan keberanian,” katanya.
Beliau turut menyeru para penerima anugerah agar menjadi teladan serta pembimbing kepada generasi baharu dalam agensi selain terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan efisiensi dalam setiap lapisan organisasi.
Dalam majlis sama, Mohd Rosli turut menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima yang telah dianugerahkan APC sebanyak tiga kali sepanjang tempoh perkhidmatan mereka bersama Maritim Malaysia.
Anugerah tersebut diberikan kepada pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian termasuk Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.