fb fb fb fb fb

Malaysia main peranan penting dalam respons ASEAN terhadap gempa Myanmar- PM Singapura

Lawrence Wong bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang akhbar bersempena lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya Januari lalu

SINGAPURA, 29 April- Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini memainkan peranan penting dalam menyelaras respons blok serantau itu terhadap kejadian gempa bumi terbaru di Myanmar, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Wong berkata beliau berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengenai situasi kemanusiaan susulan bencana itu.

“Beliau baru-baru ini melawat Thailand dan memaklumkan saya tentang situasi kemanusiaan selepas gempa bumi dahsyat itu. Dalam masa yang penuh ketidakpastian ini, perpaduan serantau lebih penting daripada sebelumnya,” kata Wong menerusi hantaran di media sosial.

Gempa bumi kuat 7.7 magnitud melanda tengah Myanmar pada 28 Mac, mengorbankan lebih 3,700 nyawa.

Semasa lawatan kerja ke Thailand, Anwar bertemu Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG) Mahn Win Khaing Than bagi membincangkan usaha memulihkan keadaan di negara itu selepas bencana.

Susulan pertemuan itu, kedua-dua pemimpin Myanmar berikrar untuk melanjutkan gencatan senjata dan memastikan keselamatan petugas kemanusiaan.

Pada Selasa, Anwar menyeru agar gencatan senjata di Myanmar yang dijadual tamat pada 30 April dilanjutkan.

Beliau menegaskan yang gencatan senjata itu penting bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada semua komuniti yang terjejas.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE