KUALA LUMPUR, 29 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah diarahkan supaya menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar orang asli yang memperoleh keputusan 5A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebagai penghargaan terhadap usaha gigih mereka.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata inisiatif itu bertujuan membuka lebih banyak ruang untuk anak-anak orang asli membina masa depan yang lebih cerah.
“Semoga inisiatif ini membuka lebih banyak ruang dan membina masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak orang asli. Insya-Allah,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, seramai 1,932 pelajar orang asli menduduki SPM, dan daripada jumlah itu, 87 orang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 5A ke atas.
Biasiswa penuh itu akan membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan MARA (IPMA) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), German-Malaysian Institute (GMI) dan lain-lain.
Ahmad Zahid menegaskan, usaha memperkasa anak-anak orang asli agar mampu bersaing dan berjaya memerlukan sokongan berterusan, bukan sahaja dari aspek galakan moral tetapi juga menerusi penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti.