KUALA LUMPUR, 29 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Mark Carney atas kejayaannya dalam pilihan raya persekutuan Kanada serta pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu negara tersebut.
Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menyatakan keyakinan dan harapan untuk menjalin kerjasama erat bersama Perdana Menteri Carney, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kanada.
Ini termasuk melalui platform kerjasama seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Pelantikan ini merupakan permulaan baharu bagi Kanada untuk memperkukuh komitmen terhadap prinsip kemerdekaan, ketahanan, serta kepimpinan berprinsip dalam masa yang mencabar dan tidak menentu ini,” ujar Anwar.
Beliau turut menyatakan keyakinannya di bawah kepimpinan Carney, Kanada akan terus memainkan peranan sebagai suara yang kukuh dan konsisten dalam penglibatan antarabangsa yang bersifat membina.