(Khairy Jamaluddin bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Bhd Dr Kelvin Loh menyaksikan
pertukaran dokumen pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KKM yang diwakili oleh
Ketua Setiausaha Datuk Harjeet Singh dan IHH Healthcare diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Jean Francois Naa / BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 14 September- Tidak ada masalah untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menggunakan ubat darah tingginya sendiri semasa dalam tahanan.
Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin saranan mengenainya telah dimaklumkan kepada ahli keluarga.
"Dalam prosedur penjara, sekiranya banduan sanggup membeli bekalan ubat sendiri dan tidak mahu menerima ubat yang dibekalkan KKM, saya difahamkan ia boleh dibenarkan dan perkara ini telahpun saya maklumkan kepada keluarga sekiranya mereka nak bekalkan ubat jenama itu kepada Najib, tidak jadi masalah," kata Khairy.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan dan IHH Healthcare Malaysia.
Inisiatif itu membolehkan 500 pesakit kanser yang terpilih menjalani rawatan secara percuma di tujuh buah hospital kendalian IHH Healthcare Malaysia.
Konsep kerjasama di antara swasta dan kerajaan itu juga boleh diketengahkan sebagai langkah menyumberluar perkhidmatan KKM.
“Ini adalah langkah yang sangat-sangat berkesan untuk memperkenalkan teknologi terkini dan rawatan menggunakan teknologi terkini kepada pakar daripada kementerian dan kepada pesakit kanser yang dirawat di fasilit Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sementara itu IHH Healthcare Berhad (IHH) melalui anak syarikat milik penuhnya Pantai Medical Centre Sdn Bhd (IHH Healthcare Malaysia) dalam kenyataan berkata MoU yang ditandatangani hari ini adalah untuk melanjutkan penjagaan dan rawatan pesakit kanser di Malaysia melalui rangkaiannya yang terdiri daripada Hospital Pantai, Hospital Gleneagles dan Pusat Perubatan Prince Court.
Menurutnya IHH Healthcare Malaysia akan menaja sepenuhnya radioterapi dan radiosurgeri untuk 500 pesakit kanser yang menjalani rawatan di hospital kerajaan, dengan pesakit yang dikenal pasti dan dirujuk oleh Kementerian Kesihatan serta pakar yang ditetapkan mereka, akan menerima rawatan di tujuh hospital IHH Healthcare Malaysia yang dilengkapi dengan teknologi terkini untuk merawat kanser.
(Khairy Jamaluddin bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Bhd Dr Kelvin Loh menyaksikan
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KKM yang diwakili oleh Ketua Setiausaha Datuk Harjeet Singh
dan IHH Healthcare diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Jean Francois Naa di Hospital Pantai / BERNAMA)