KUALA LUMPUR, 28 April – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi merangka undang-undang khusus untuk melindungi koc wanita dalam perkhidmatan KTM Komuter.
Pengurus Besar Jabatan Perkhidmatan Komuter KTMB, Suhaila Saad memaklumkan setakat April 2025, hanya tiga kes gangguan seksual dilaporkan, menunjukkan penurunan berbanding lapan kes pada tahun sebelumnya.
Penurunan tersebut dilihat hasil daripada pemantauan dan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan penumpang.
"Kami sedang berusaha untuk mewujudkan undang-undang berkaitan gangguan terhadap wanita. Kami bekerjasama dengan pihak MOT dan dipimpin oleh APAD untuk mewartakan perbuatan lelaki yang menduduki koc wanita sebagai satu kesalahan. Proses ini masih dalam perbincangan kerana ia melibatkan polisi yang perlu mengambil masa untuk dilaksanakan," katanya.
Beliau ditemui pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-15 Koc Wanita 2010-2025 di ibu negara.
Tambah Suhaila, sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan akta tersebut, KTMB telah mengadakan bengkel bersama APAD.
Koc Wanita merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang wanita.
Setakat ini, dua koc khas telah disediakan untuk penumpang wanita, dengan koc-koc tersebut ditandai dengan warna merah jambu untuk memudahkan pengawalan dan pemantauan.
Sebagai langkah proaktif, pemantauan berkala dilakukan oleh anggota Polis Bantuan KTMB, disokong oleh kamera litar tertutup (CCTV). Pengumuman keselamatan berkala juga dilakukan, dan saluran aduan melalui media sosial rasmi KTMB turut disediakan.
Selain itu, talian hotline Polis Bantuan KTMB di talian 03 22631194 / 03 22631199 turut disediakan untuk memudahkan aduan.
Koc Wanita pertama kali diperkenalkan oleh KTMB pada 28 April 2010 dan dilaksanakan di laluan Pelabuhan Klang - Batu Caves dan kini, inisiatif tersebut telah dilaksanakan di semua laluan KTM Komuter Lembah Klang.