fb fb fb fb fb

Had pembelian beras putih tempatan dinaikkan kepada lima kampit seorang

Had pembelian beras putih tempatan dinaikkan kepada lima kampit seorang berbanding dua kampit sebelum ini / Foto Hiasan / Bernama

SERDANG, 28 April – Had pembelian beras putih tempatan dinaikkan kepada lima kampit seorang berbanding dua kampit sebelum ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kenaikan itu dibuat susulan pengagihan lebih 3.16 juta kampit beras tempatan 10 kilogram melalui 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara, dengan negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatat agihan tertinggi.

"Kita minta sekiranya berlaku kekurangan beras putih tempatan di kawasan tertentu, aduan segera dibuat supaya agihan boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan lain, Mohamad menyatakan tiada lonjakan harga berlaku sepanjang Ramadan dan Syawal, mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

Beliau turut memaklumkan bekalan makanan sepanjang dua musim perayaan tersebut berada dalam keadaan mencukupi.

"Jemaah Menteri turut memuji keberkesanan kawalan harga yang disifatkan antara terbaik dalam sejarah. Ini tidak akan tercapai tanpa komitmen dan strategi berkesan seluruh pasukan KPKM," ujarnya.

Tambahnya lagi, kementerian akan terus berusaha mengekalkan kestabilan harga dan bekalan barangan keperluan, khususnya pada musim perayaan akan datang.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN