fb fb fb fb fb

KKM laksana inisiatif tenaga boleh diperbaharui di fasiliti kesihatan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 28 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui melalui Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) di beberapa fasiliti penjagaan kesihatan terpilih sekitar Lembah Klang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata inisiatif itu turut merangkumi penubuhan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Penjagaan Kesihatan, Penyelidikan dan Inovasi (BRAIN) serta penggunaan alternatif terbiodegradasi bagi menyokong ekonomi sekeliling.

"Inisiatif ini adalah pelaburan jangka panjang dalam meningkatkan ketahanan iklim, kecekapan sumber dan mewujudkan operasi penjagaan kesihatan yang mapan," katanya ketika berucap pada Persidangan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Hijau (GHFCON) 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sistem kesihatan negara memerlukan inovasi berterusan serta pembiayaan pintar untuk memastikan kelestarian jangka panjang.

Dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, KKM turut menyasarkan mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2045, lima tahun lebih awal daripada sasaran nasional pelepasan sifar bersih pada 2050.

Sasaran itu diperkukuh dengan pelancaran Pelan Induk Fasiliti Penjagaan Kesihatan Karbon Neutral pada 2023, yang menggariskan langkah-langkah strategik seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan air, dan pengurusan sisa bagi mengurangkan pelepasan karbon secara menyeluruh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN