BATU PAHAT, 15 September- Dua kru bot nelayan selamat, manakala dua lagi masih hilang, selepas bot dinaiki karam dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang semalam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat, Johor.
Susulan kejadian itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggerakkan operasi mencari dan menyelamat dua kru tersebut.
(Dua kru bot nelayan selamat, manakala dua lagi masih hilang, selepas bot dinaiki karam
dalam kejadian kira-kira pukul 5.00 petang semalam di perairan Parit Hailam, Batu Pahat)
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, kejadian berlaku ketika bot berada di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam, akibat cuaca buruk dan ombak besar, menyebabkan bot terbalik sebelum karam.
Mangsa, Te Chia Haur, 40 tahun serta Tee Kian Muar, 33 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot.
Mangsa kemudian diselamatkan nelayan tempatan yang berada berdekatan.
Dua lagi mangsa yang hilang, Te Chia Rong, 38 tahun dan Chia Hock Neng, 60 tahun dilaporkan tidak sempat menyelamatkan diri, dipercayai sedang tidur semasa kejadian.