fb fb fb fb fb

70,000 belia dijangka hadir pada Hari Belia Negara peringkat Negeri Selangor

Foto RTM

SHAH ALAM, 29 April – Seramai 70,000 pengunjung, terutamanya golongan belia, disasarkan menyertai Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Negeri Selangor 2025 dan Semarak HBN Peringkat Daerah yang bakal berlangsung pada bulan Mei ini.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, Semarak HBN Peringkat Daerah akan diadakan serentak di sembilan daerah di seluruh negeri pada 15 Mei, sebagai pembuka tirai kepada sambutan peringkat negeri.

Sambutan HBN peringkat negeri pula akan berlangsung secara festival pada 17 dan 18 Mei 2025 di KSL Esplanade Mall, Klang, dengan tema ‘Yakin Boleh’.

“Untuk tahun ini, sambutan dibuat secara berasingan. Sambutan di peringkat daerah akan berlangsung pada 15 Mei, manakala sambutan di peringkat negeri pula pada 17 dan 18 Mei.

"Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang turut akan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Selangor,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah beliau, sambutan tahun ini menampilkan 13 segmen utama bagi menarik penyertaan orang ramai, antaranya karnival makanan dan minuman, fesyen, sukan, serta karnival kerjaya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD