fb fb fb fb fb

Mustakim Mohamad Ketua Pegawai Eksekutif baharu Lembaga Tabung Haji

Ketua Pegawai Eksekutif baharu Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 April-Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji yang baharu berkuatkuasa 6 Mei depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan  berkata pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman yang akan tamat kontraknya pada 5 Mei 2025.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Mustakim adalah sejajar dengan komitmen TH untuk terus menerajui kecemerlangan dan ketelusan dalam mengurus amanah para pendeposit, khususnya dalam menghadapi cabaran persekitaran pasaran global yang tidak menentu serta peningkatan kos perkhidmatan seperti penerbangan, penginapan dan perubatan.

“Pertimbangan dalam melantik pemimpin berwibawa amat penting memandangkan peranan besar TH sebagai institusi pengurusan amanah umat Islam.

"Pelantikan Encik Mustakim adalah berdasarkan pengalaman luas serta keupayaannya merealisasikan wawasan TH ke tahap seterusnya,” menurut kenyataan itu.

Mustakim membawa bersama hampir dua dekad pengalaman dalam organisasi tersebut, termasuk dalam bidang kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit dan operasi, serta teknologi maklumat dan keselamatan.

Sebelum ini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam jurusan Kewangan dari Universiti RMIT, Australia, dan diiktiraf sebagai Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Tabung Haji dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Syed Hamadah Syed Othman atas khidmat bakti dan sumbangannya sepanjang dua tahun menerajui organisasi itu, terutamanya dalam memperkukuh struktur pengurusan dan meningkatkan ketelusan operasi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD