KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) menjadi langkah penting dalam memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan antara ASEAN dan China kekal relevan serta dinamik bagi menghadapi perubahan global semasa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, naiktaraf perjanjian itu membolehkan ASEAN dan China menyesuaikan kerjasama ekonomi dengan perkembangan semasa serta meneroka peluang baharu dalam sektor strategik yang kian berkembang.
"Kita menyelaras semula FTA yang dulu disediakan, tetapi dengan perubahan teknologi dan perubahan geoekonomi serta geopolitik, kini kita memperbaharui FTA ASEAN-China untuk menyelaras hubungan dengan China, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan", katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau berkata, penandatanganan ACFTA 3.0 yang disertai ASEAN dan China hari ini akan membantu mengawal serta menyesuaikan perjanjian tersebut dengan perkembangan baharu dalam landskap geopolitik dan ekonomi global.
Usaha ini bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan ASEAN-China yang kini berada di tahap terbaik serta memastikan kerjasama itu terus dipertingkat.
ASEAN dan China hari ini menandatangani Protokol Naiktaraf ACFTA 3.0, menandakan fasa baharu dalam hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua pihak.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dan Menteri Perdagangan China, Wang Wentao.