fb fb fb fb fb

RM47 juta bina, operasi PEDi baharu di Pulau Pinang - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

PERMATANG PAUH, 16 Februari- Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM47 juta untuk pembinaan dan pengoperasian 38 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) baharu di Pulau Pinang. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini akan menjadikan jumlah keseluruhan PEDi di Pulau Pinang sebanyak 41 buah PEDi, sekali gus menjadikannya negeri paling banyak menerima PEDi baharu.

"Kerajaan menambah 186 PEDi secara berperingkat di seluruh negara yang menjadikan jumlah keseluruhan PEDi sebanyak 1,097 PEDi yang akan diwujudkan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.

"Inisiatif kerajaan ini diharap dapat memberi suntikan semangat khususnya dalam kalangan golongan belia untuk berkunjung ke PEDi bagi mengikuti pelbagai program dan latihan yang disediakan," kata Anwar kepada pemberita ketika merasmikan Karnival Pemerkasaan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai, petang tadi.

Dalam pada itu, rata-rata golongan belia usahawan di bawah bimbingan PEDi telah berjaya membuktikan kejaaan mereka setelah menyertai program yang disediakan PEDi Pulau Pinang.

"Mula tahun ini, saya terlibat dengan PEDi untuk saya buat perniagaan melalui dalam talian macam kita pakai Shopee, TikTok.  Selepas saya terlibat dengan PEDi, tempahan saya meningkat, hampir 80% daripada sebelum ini," kata usahawan jahitan, Siti Noor Hidayah Omar.

"PEDi bantu daripada segi 'setup', daripada tidak tahu ke tahu contohnya TikTok Shop sebelum ini saya tidak ada, PEDi buat TikTok Shop. Dan daripada situ saya dapat sambutan menggalakkan. Daripada saya tiada pekerja, sampai ada," kata usahawan sabun, Asmadi Ibrahim.

"Sebab sebelum ini kak banyak letak dekat kedai-kedai jadi bila ada produk baharu yang mai keluar, kak boleh jual dalam talian, ia lagi meningkat. Sebab dulu hanya kedai runcit, dia ikut orang beli, sekarang letak di Facebook, ramai yang membeli," kata usahawan makanan, Noranizawati Ismail.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM