fb fb fb fb fb

Nahas pesawat: Laporan awal siap dalam tempoh 30 hari

Antara serpihan pesawat Gabriel BK160TR yang terhempas di Kapar, Selasa lalu

PUTRAJAYA, 16 Februari- Laporan awal siasatan pesawat terhempas di Kapar, Selasa lalu akan disiapkan dalam tempoh sebulan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan memaklumkan, laporan itu akan diikuti laporan penuh yang dijangka siap selewat-lewatnya 12 bulan daripada tarikh insiden.

Penyiasatan akan diteruskan untuk menentukan situasi sebenar dan punca kemalangan. Ia bertujuan menyelamatkan nyawa dan mengelakkan risiko kemalangan serupa, di masa hadapan.

"Siasatan teknikal dimulakan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), berdasarkan Annex 13-Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13)", menurut kenyataan itu.

"Berdasarkan siasatan awal, pesawat yang memiliki tanda pendaftaran I-POOC adalah milik Blackshape S.p.A yang merupakan sebuah syarikat Itali dan Sky Media Ltd bertindak sebagai pengedar pesawat serta perkhidmatan pemasaran bagi tujuan promosi kepada pelanggan-pelanggan di Malaysia.

Menurut MOT, ketika insiden berlaku, pesawat ringan terbabit memiliki pensijilan kelayakan terbang yang sah di bawah Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).

Nahas yang berlaku di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor pada Selasa lalu menyebabkan juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang Roshaan Singh Raina, 43, maut.

ROSLINA BINTI DIN