PERMATANG PAUH, 16 Februari- Kementerian Komunikasi akan berhubung dengan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad dalam masa terdekat, bagi mendapat perincian berhubung dakwaan seorang penerbit terkenal mengambil pita asal empat filem hasil karyanya sejak 36 tahun lalu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, beliau perlu meneliti perkara tersebut dengan lebih jelas bagi memudahkan pihak kementerian menjalankan langkah seterusnya sebagai usaha membantu seniwati itu.
"Tetapi kita inginkan perkara itu secara khusus, siapa yang berjumpa dengan beliau. Adakah orang itu boleh dihubungi. Tetapi ia juga melibatkan perkara lain yang bersifat kontrak antara dua pihak. Jadi perkara itu akan diteliti. Insya-Allah.
"Para seniman yang terlibat dalam industri seni perlu faham sebelum menandatangani sesuatu perjanjian selain memahami manfaat yang ditawarkan," katanya selepas menghadiri Karnival Pengukuhan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.
Bagaimanapun menurut Fahmi perkara itu merupakan satu tanggungjawab kementerian untuk membantu pengkarya seni dalam menjaga kebajikan mereka.
Semalam, ketika menerima kunjungan setiausaha politik perdana menteri Sarimah, 82, turut menyatakan hasratnya supaya empat karya filem dikembalikan semula ke tangannya.
Empat filem itu ialah Kabus Tengahari, Detik 12 malam, Dia ibuku dan Jejak Bertapak. Ia disifatkan sungguh bermakna buat dirinya kerana karya itu diterbitkan produksi miliknya iaitu Sarimah Film Production dan Sasari.
Menurut pelakon utama filem Madu Tiga itu, penerbit berkenaan bersama-sama seorang rakannya umpama menangguk di air keruh apabila meminta beliau menandatangani satu dokumen pada hari kematian suaminya.
Sarimah kesal dengan tindakan penerbit itu selain filem-filem tersebut gagal diulangkan kepadanya setelah diambil 36 tahun lalu.