KUALA LUMPUR, 16 Februari- Jumlah kemalangan dalam tempoh pelaksanaan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina 2024, merekodkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding Op Selamat 19, tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Komisioner Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 8,501 kes direkodkan tahun ini berbanding 9,407 kes pada tahun 2023.
Beliau berkata kes kemalangan maut turut merekodkan penurunan dengan 86 kes berbanding 87 kes pada tahun lepas. Jumlah kenderaan terlibat dalam kemalangan juga berkurangan dengan 10,715 direkodkan pada tahun ini, menurun sebanyak 14 peratus atau 1,699 buah kenderaan.
"Berdasarkan kajian ataupun siasatan, kemalangan yang direkodkan, antara punca utama berlakunya adalah kerana pemanduan yang mengekori rapat kenderaan lain di hadapan, disusuli akibat tidak peka dan prihatin sehingga terbabas sendiri dan ketiga tertinggi, adalah tidak perasan ada kenderaan atau objek lain di hadapan atau sebelah kenderaan.
"Faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang utama adalah cuai, keluar masuk simpang, cuba memotong kenderaan dan tukar lorong serta lain-lain punca", katanya dalam sidang media Majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat Tahun Baru Cina 21 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.
Jalan bandaran menyumbang peratusan tertinggi kepada kemalangan pada tahun ini dengan 3,640 kes, diikuti jalan negeri, jalan persekutuan dan lebuh raya.
Jumlah kematian mencatatkan rekod penurunan sebanyak sembilan orang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 91 orang.
Kes cedera parah mencatat penurunan sebanyak 40 kes, berbanding 52 kes pada tahun sebelumnya, manakala kes kemalangan ringan yang direkodkan adalah 426 kes, menurun sebanyak 131 kes pada 2023.
Dalam pada itu, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat kematian tertinggi iaitu 67 kematian bersamaan 74 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian.
Sebanyak 201,840 saman telah dikeluarkan pada Op Selamat kali ini, berbanding 103,114 pada tahun lalu.