(Perdana Menteri berucap pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia WCIT)
BAYAN BARU, 13 September- Sebanyak RM42 bilion nilai Pelaburan Digital Langsung Asing berjaya diraih menerusi inisiatif Malaysia Digital (MD) dalam tempoh dua bulan.
Nilai itu berjaya dijana melalui pelaburan 28 buah syarikat asing daripada pelbagai sektor antaranya penyedia perkhidmatan IT, Teknologi Kandungan Kreatif dan Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian tersebut penting kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus merancakkan ekonomi digital.
MD yang dahulunya dikenali sebagai inisiatif MSC Malaysia sebelum dijenamakan semula; telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1996.
"Ia sekali gus melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion. Selepas 26 tahun, MSC Malaysia diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula sebagai Malaysia Digital.. berperanan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara dan memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada Keluarga Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT) di Setia SPICE Centre, Bayan Baru.
Kongres dihadiri lebih 4,000 peserta dari lebih 80 buah negara itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail berharap kerjasama rentas kementerian ini dapat dilipatgandakan dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
(Perdana Menteri bersama dif kehormat pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia (WCIT)
di Setia SPICE Centre, Bayan Baru)