(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)
BAYAN BARU, 14 September- Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan ditentukan selepas pertemuan lima pemimpin tertinggi UMNO dalam masa terdekat.
Mereka terdiri daripada presiden parti, timbalannya dan tiga naib presiden.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO berkata tempoh untuk mengadakan PRU ke-15 pada tahun ini masih terbuka.
“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, setiap keputusan mengenai PRU akan dibuat selepas perbincangan lima pemimpin tertinggi UMNO,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di sini hari ini.
(Datuk Seri Ismail Sabri menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia
2022)
Ketika ditanya sama ada perbincangan itu akan diadakan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini, Ismail Sabri berkata perkara itu masih belum ditentukan.
“Perbincangan boleh dibuat secepat mungkin atau mungkin lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023," kata beliau.